
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JPKK Bebuloh
LABUAN, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Bebuloh menyambut kedatangan tahun baharu 2025 dengan menyertai Pertandingan Membubu Ketam.
Menurut Ketua Kampung Bebuloh Kamal Arrifin Khalidin acara itu merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bebuloh bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Labuan.

Para pemenang bersama hasil tangkapan masing-masing.
“Acara ini akan menjadi acara tahunan JPKK Bebuloh yang mana ianya dilihat mampu menyatupadukan penduduk kampung dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di kampung ini.
“Acara ini juga mempromosikan Kampung Bebuloh sebagai kawasan tarikan pelancongan dan JPKK Bebuloh dalam usaha mempelbagaikan produk pelancongan bagi menarik pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke kampung ini dan salah satunya melalui penganjuran acara ini,”katanya semasa berucap pada majlis perasmian pertandingan itu pagi semalam.

Penduduk kampung bersemangat bersama peralatan membubu ketam.
Pertandingan itu dimenangi Ainee Umar dan membawa pulang hadiah wang tunai RM400, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Syawal Naim dan Qawie Jawawi dan membawa pulang RM300 serta RM200. Manakala tempat keempat dimenangi oleh Rosmah Mastun yang membawa pulang hadiah RM100.
Pertandingan yang disertai 142 orang peserta dari pelbagai lapisan peringkat umur itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib dan penyampaian hadiah pemenang pertandingan disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Labuan, Khairul Amin Abd Rashid.
-ZS-