
Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI 7 Jan (Malaysiaaktif) – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) melalui Projek Titian Bestari telah menyalurkan sumbangan RM1,500 kepada Sekolah Kebangsaan Darul Aman bagi menjayakan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Bahasa Inggeris (STEM) serta ke arah peningkatan kemenjadian murid dalam majlis Hari Anugerah Kemenjadian Murid, di sini kelmarin.

Projek Titian Bestari YSB menyampaikan sumbangan bagi projek STEM dan kemenjadian murid Sekolah Kebangsaan Darul Aman.
Berangkat bagi menyempurnakan majlis adalah Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Dalam titah ucapan beliau menyifatkan bahawa kerjasama yang baik antara guru, waris dan murid adalah penyumbang utama ke arah pembentukan kemenjadian murid serta melahirkan pelajar cemerlang di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan.
“Sekolah ini adalah salah sebuah sekolah di bawah Projek Titian Bestari YSB daripada 22 buah sekolah di seluruh negeri Kedah yang mendapat kerjasama sepenuhnya dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah sejak tahun 2015 dan projek ini turut mengadakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.
Turut berangkat Pengerusi Projek Titian Bestari YSB Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Tetamu di raja bergambar bersama dengan guru-guru Sekolah Kebangsaan Darul Aman.
-ZS-