
Laporan/foto: Safwanah Zulkopli/S. Shanmuganathan (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 7 JAN (Malaysiaaktif) – Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Permatang Tinggi di Seberang Perai Tengah telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Hj Abdul Razak, di sini semalam.

Sesi penyerahan cenderahati kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang
Projek yang mensasarkan golongan B40 dan M40 ini merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman mampu milik berkualiti serta memenuhi prinsip pembangunan mapan.
Projek ini merupakan hasil kerjasama Lembaga Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PTL Properties Sdn. Bhd. dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan orang ramai, tadika, surau, pondok pengawal, pejabat pengurusan dan kolam renang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Sundarajoo Somu, projek berkeluasan 25.54 ekar ini dijangka memberi impak positif kepada rakyat dan menyokong matlamat pembangunan inklusif.

Sundarajoo ketika menyampaikan ucapan.
“Kerajaan negeri optimis projek ini bukan sahaja memenuhi permintaan tinggi terhadap perumahan mampu milik, malah membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, pemimpin komuniti setempat, serta wakil jabatan dan agensi kerajaan.
-ZS-