
Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mahader Lahaire (Sabah)
LAHAD DATU, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Masyarakat dan komuniti setempat terutama ibu bapa yang memiliki anak-anak istimewa diseru untuk memainkan peranan penting dalam membimbing dan mendidik mereka supaya dapat hidup lebih berdikari pada masa hadapan.
Pengerusi Persatuan Anak-Anak Istimewa Lahad Datu (PRAISE) Mohd Firdaus Muthaloo Abdullah, berkata bimbingan berterusan adalah kunci untuk memastikan anak-anak istimewa dapat meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun tanpa tempat bergantung di masa depan.
Beliau yang juga membesarkan seorang anak istimewa, berkata anak-anak ini sentiasa memerlukan terapi khusus dalam aspek percakapan dan kaunseling di samping keprihatinan masyarakat yang berterusan.

Halipah (tengah) menerima risalah edaran daripada Jabatan Penerangan.
“Ketika ini, anak-anak ini hanya berpeluang menjalani terapi di hospital sekali sebulan. Kos terapi di luar pula terlalu tinggi. Kami sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua lapisan masyarakat untuk merealisasikan impian ini.
“Saya memohon keprihatinan masyarakat dan komuniti untuk membantu kami memanfaatkan peluang yang ada, menyediakan anak-anak ini dengan kemahiran dan kemudahan asas yang diperlukan terutama dalam mengikuti terapi yang mencukupi,” katanya selepas mempengerusikan perbincangan persediaan Majlis Kesyukuran anjuran PRAISE yang dijadualkan pada 18 Januari 2025 di sini pada Jumaat.
Jelasnya, anak-anak istimewa memiliki potensi besar untuk berjaya jika mereka diberi didikan dan bimbingan yang baik.
“Banyak anak istimewa di negara ini yang telah mencapai kejayaan luar biasa termasuk memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, hasil bimbingan dan sokongan berterusan daripada keluarga terdekat.
“PRAISE ini bermula sebagai sebuah kumpulan media sosial sebelum berkembang menjadi sebuah pertubuhan berdaftar. Walaupun baru setahun lebih berdaftar, matlamat utama PRAISE adalah untuk mewujudkan sebuah pusat terapi khusus bagi anak-anak istimewa di daerah ini,” jelasnya.
Sementara itu, bagi sukarelawan PRAISE dan bapa kepada dua anak istimewa, Dr. Mohd Yazid Zulwaqar Lakat yakin, ibu bapa adalah individu yang paling penting untuk anak-anak ini bergantung harap.
“Sebagai Pegawai Perubatan Pediatrik, saya percaya anak-anak istimewa memerlukan perhatian khusus, terutama dengan kekurangan perkhidmatan dan fasiliti terapi di daerah ini.

Hendry ketika sesi temu bual bersama Mohd Firdaus (kiri).
“Penglibatan ini mendorong saya untuk aktif dalam persatuan bukan hanya untuk anak saya, tetapi juga untuk anak-anak syurga lain di daerah ini,” katanya.
Kisah inspirasi turut dikongsikan Halipah Bachok, 57, ibu kepada Muhammad Amirul Asyraf Md Asri, yang menghidap Cerebral Palsy dan tular baru-baru ini kerana berjaya menjadi seorang peguam.
“Saya terpaksa berpencen awal untuk memberikan sepenuh perhatian kepada pembangunan emosi, fizikal, dan masa depan Amirul.
“Namun, segala pengorbanan itu berbaloi apabila menyaksikan kejayaannya yang mengundang air mata kesyukuran kami sekeluarga,” katanya.
Untuk makluman, operasi persatuan kini dijalankan di kuarters kerajaan tanpa sewaan, hasil sokongan daripada Pegawai Daerah Lahad Datu sementara dana operasi diperoleh melalui sumbangan sukarelawan serta derma daripada individu yang prihatin.
Dianggarkan terdapat 80 keluarga dengan anak istimewa berumur antara dua hingga 18 tahun di Lahad Datu, dan 40 daripadanya telah berdaftar secara rasmi di bawah kendalian PRAISE.
-RJ