
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 13 Jan 2025 (MalaysiaAktif) – Sekurang-kurangnya 60 buah rumah dan sebuah masjid di Kampung Sri Aman Dua, Tawau, musnah dalam kebakaran yang berlaku semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 pagi itu turut menyebabkan tiga mangsa berusia antara 14 hingga 49 tahun mengalami sesak nafas, dan telah menerima rawatan awal daripada pasukan Emergency Medical Rescue Service (EMRS).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.46 pagi dan segera menggerakkan 55 anggota serta sembilan jentera ke lokasi kejadian.

Jemishen ketika sidang media di tapak kebakaran pagi semalam.
“Kebakaran melibatkan 60 buah rumah dan sebuah masjid jenis tidak kekal seluas dua ekar, yang menyebabkan kerosakan teruk. Kami menghadapi kesukaran berikutan rumah yang terlalu rapat, binaan kayu, serta angin yang tidak menentu,” jelasnya.
Beliau turut menambah pasukan bomba terpaksa membentangkan hos sejauh 600 kaki disebabkan air laut yang surut serta keadaan jambatan yang runtuh.
“Untuk menghalang api merebak lebih luas, dua buah rumah telah dibongkar menggunakan kaedah ‘fire break’ walaupun begitu, kami berjaya menyelamatkan sebanyak 250 buah rumah daripada musnah terbakar.

Antara puluhan rumah penduduk kampung yang hangus akibat kebakaran semalam.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.20 pagi tadi,” katanya. Pasukan bomba kini sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran dan jumlah kerugian yang terlibat,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N68 Apas, Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan menyatakan rasa simpati terhadap mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dalam menghadapi ujian ini.

Nizam ketika melawat tapak kebakaran di Kampung Sri Aman Dua, Tawau semalam.
“Selain itu, saya berpesan agar semua pihak sentiasa berhati-hati dalam penggunaan api dan pendawaian elektrik yang sempurna, kerana malang tidak berbau.
“Saya juga menyokong cadangan pihak bomba untuk mewujudkan bomba komuniti sebagai langkah pencegahan awal dalam mengelakkan kejadian kebakaran serupa pada masa akan datang,” ujarnya.
-RJ-