
Laporan/foto: Saiful Nizam Ibrahim (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Banjir yang melanda beberapa kawasan di Kampung Sepakat Baru memberikan cabaran besar kepada penduduk, namun kanak-kanak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK (C) Pu SZE menunjukkan semangat ceria meskipun dalam keadaan serba kekurangan. Di PPS, kanak-kanak dilihat gembira bermain bersama rakan-rakan sebaya, melupakan kesulitan banjir yang melanda.

Aktiviti mewarna yang disediakan
Menurut Krishna Kumar Supramaniam, Guru kaunseling SJK (T) Jalan Yahya Awal, 25, berkata walaupun terpaksa meninggalkan rumah, kanak-kanak tetap riang dan mudah menyesuaikan diri di PPS.

Krishna Kumar Supramaniam, Guru kaunseling SJK (T) Jalan Yahya Awal beramah mesra dengan kanak-kanak di PPS
“Pelbagai aktiviti disediakan seperti permainan dan mewarna untuk menceriakan kanak-kanak yang ada di PPS,” katanya.
Menurut Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Nurun Nashroh Jafar, 30, usaha guru-guru kaunseling menerusi Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru amatlah dihargai.
“Kanak-kanak adalah golongan yang paling terkesan dengan perubahan besar seperti banjir dan aktiviti seperti ini membantu mereka mengatasi trauma,” ujarnya.
Pihak berwajib juga turut memberi sokongan penuh terhadap aktiviti ini selain memastikan bantuan fizikal, perhatian terhadap kesejahteraan emosi kanak-kanak juga diberikan keutamaan.
Walaupun banjir masih memberi cabaran besar, keriangan dan keceriaan kanak-kanak di PPS ini membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul, mereka mampu menghadapi cabaran tersebut dengan lebih tabah dan positif.
PPS ini telah menempatkan seramai 29 keluarga yang terdiri daripada 82 orang serta 29 kanak-kanak.
-AA-