
Laporan/foto: Muhammad Zarul Afify/Nur Fariza Farnoh (JASIN)
AYER KEROH 14 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Melaka mencatatkan kutipan hasil tertinggi bagi 2024 melebihi 100 peratus sasaran, dengan jumlah RM489.79 juta.

Ucapan Amanat Ketua Menteri Melaka
Menurut Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, kejayaan ini menunjukkan keberkesanan pendekatan pentadbiran yang cekap dan teratur telah membawa hasil yang positif bagi Negeri Melaka.

Sesi bergambar Ketua Menteri Melaka bersama penjawat awam
“Kita telah berjaya melepasi sasaran dan meletakkan Melaka di kedudukan ketiga antara semua negeri di Malaysia.
“Selain itu, baki hutang negeri juga berjaya dikurangkan daripada RM631.95 juta pada tahun 2023 kepada RM625.49 juta pada tahun 2024,” ujarnya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 bersama penjawat awam di MITC, semalam.
Ketua Menteri Melaka turut mengumumkan inisiatif kemasukan percuma ke lokasi pelancongan di Melaka yang dilaksanakan tahun lalu akan diteruskan pada tahun ini.
Beliau mengajak pelancong, baik dari dalam mahupun luar Melaka untuk datang ke negeri ini pada cuti umum 20 Februari depan sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia.
-AA-