
Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Gombak)
SELAYANG, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Golongan belia berusia 16 hingga 35 tahun adalah penyumbang terbesar kepada angka kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

Hasbi ketika berucap merasmikan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya AMU-Suzuki 2025
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata sebanyak 5,939 kematian daripada 585,729 kes kemalangan telah direkodkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga November 2024.

Hasbi bersama penunggang motorsikal yang terlibat dalam pemeriksaan motorsikal percuma oleh mekanik bertauliah Suzuki Malaysia
Katanya, daripada jumlah tersebut dianggarkan 67 peratus atau 4,014 kematian adalah melibatkan penunggang dan pembonceng, dengan majoritinya adalah terdiri daripada golongan belia di negara ini.
“Statistik kemalangan jalan raya ini adalah sangat membimbangkan dan saya ingin menegaskan kepentingan memiliki lesen memandu yang sah bagi penunggang motorsikal amatlah diperlukan.
“Keperluan kritikal untuk memiliki lesen memandu yang sah sebelum dibenarkan menunggang motorsikal di atas jalan perlu diberi perhatian oleh semua pihak dan langkah asas ini adalah penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kongsi Jalan Raya, Tunggang Berhemah anjuran Suzuki Malaysia di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengerusi Malaysia Motorcycle & Scooter Dealer Association (MMSDA), Datuk Wee Hong.
-AA-