
Laporan/foto: Ainsyah Hamid/Mawarni Ismail
BAYAN LEPAS, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI di Bayan Lepas mengambil langkah proaktif dengan menyertai inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membina masyarakat yang celik teknologi dan berdaya saing.

Pengunjung mendengar tanklimat ringkas daripada Pengurus NADI Bayan Lepas.
Dalam sesi lawatan yang berlangsung semalam, warga komuniti diberi peluang eksklusif untuk menjadi ahli seumur hidup Pusat NADI secara percuma hanya dengan melengkapkan borang pendaftaran.
Selain itu, mereka turut diberi pendedahan mengenai pelbagai perkhidmatan di Pusat NADI termasuk kelas keusahawanan digital yang bertujuan memperkasakan pengetahuan masyarakat tempatan.
Menurut Pengurus NADI Bayan Lepas Siti Hazwani, 35, peranan Pusat NADI kini diperluaskan bagi membantu komuniti setempat mendepani cabaran era digital.
“Kami komited melaksanakan program-program mampan dan relevan untuk merapatkan jurang digital, meningkatkan pengetahuan, serta memperkasakan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Penerangan berkaitan inisiatif dan dasar-dasar terkini kerajaan juga turut disebarluaskan untuk makluman komuniti.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Teluk Kumbar Aliza Ghazali, 50, menyifatkan kerjasama ini memberi manfaat yang besar kepada semua kerana maklumat terkini dan tepat mengenai inisiatif kerajaan dapat diakses dengan lebih mudah.
-ZS-