
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Tahun 1446 Hijrah/2025 Masehi diadakan di Masjid Al-Kauthar, Tawau, dengan tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” menekankan kejayaan hakiki di dunia dan akhirat dalam membina umat cemerlang dan negara sejahtera.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal menyatakan betapa pentingnya pembelajaran Al-Quran dan pengamalan nilai-nilai murni seperti amanah, jujur, disiplin, dan kasih sayang terhadap negara.

Rina ketika menyampaikan hadiah kepada Juara qari dan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Tahun 1446 Hijrah/2025.
“Al-Quran bukan sahaja sebagai panduan rohani, tetapi juga sebagai sumber ilmu yang membawa umat Islam kepada kejayaan yang hakiki.
“Penting bagi kita untuk menghayati dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian. Kejayaan tidak datang dengan mudah; ia memerlukan usaha yang berterusan dan penuh ketekunan,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Tahun 1446 Hijrah/2025 di sini pada Jumaat.
Tegasnya, kejayaan mengimarahkan majlis tahunan ini membuktikan keberkatan dan nikmat keamanan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Malaysia, hasil daripada kepimpinan yang berwawasan serta komitmen terhadap agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
“Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni ini turut disertai oleh penduduk setempat serta pelbagai lapisan masyarakat, bagi bersama-sama menghayati dan merayakan nilai-nilai Islam yang mulia.

Persembahan khas dari anak-anak tahfiz pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Tahun 1446 Hijrah/2025.
“Diharapkan agar usaha ini menjadi pemangkin untuk melebarkan risalah Islam, menguatkan perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang tercinta, serta memberi manfaat kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk mencapai kehidupan yang penuh keberkatan di dunia dan akhirat,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis.
-RJ-