
Laporan/foto: Andi Abdul Rohim (Manjung)
LUMUT, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan Pusat Hidrodinamik tangki ombak wave tank bertaraf antarabangsa di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), yang dibangunkan dengan peruntukan RM12.7 juta menerusi RMK-11, di sini semalam.

Sesi menandatangani Pusat Ujian Hidrodinamik Tangki Ombak UniKL MIMET.
Tangki ini berukuran tiga puluh meter panjang, sepuluh meter lebar, dan enam meter dalam, dilengkapi dua puluh paddles untuk menjana ombak setinggi 0.5m.
Ia mampu menghasilkan variasi ombak regular, irregular, dan oblique, serta dilengkapi platform bergerak yang menunda model kapal sehingga 1.5m/s sehingga memberi manfaat besar kepada pelajar UniKL MIMET untuk pembelajaran serta penyelidikan.
Kemudahan tangki ombak ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada penyelidikan, inovasi, dan pembangunan modal insan dalam industri kejuruteraan marin serta maritim negara.
Dalam lawatan tersebut, Ahmad Zahid Hamidi juga mendengar taklimat dan mengadakan lawatan ke dermaga serta pembuatan kapal.
“Kemudahan ini difahamkan satu-satunya di rantau ASEAN dan perlu dimanfaatkan oleh institut kemahiran yang sama tanpa perlu kita hantar ke luar negara,” ujarnya dalam sidang media selepas mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sesi Lawatan TPM ke UniKL MIMET (pembuatan bot fiber).
Pihaknya akan berkolaborasi bersama KPT untuk mengadakan perbincangan program jangka panjang bagi melahirkan lebih ramai lagi pelajar jurusan kejuruteraan marin dan maritim dalam negara.
Tambahnya lagi, KKDW akan mengadakan sesi libat urus bersama UniKL MIMET untuk perancangan proses menaiktaraf sistem pengajian termasuk modul pendidikan maritim, berasaskan kecerdasan buatan (AI), Teknologi Internet Benda (IoT) dan robotik bagi menambah baik dengan keperluan semasa di institut tersebut.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Desa dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dusuki, Pengerusi MARA Corporation (MARACorp) Mohamad Rafi Shahzada, Pengerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Datuk Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali, serta wakil pengurusan tertinggi kementerian, institusi dan agensi kerajaan.
-ZS-