Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pasar Saloma: Syurga Makanan Viral di Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025

By 26 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Lebih 60 gerai di Pasar Saloma menyajikan pelbagai jenis menu istimewa sempena Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Safura Amdan (kanan) bersama rakannya Zahrah Johari (kiri) tidak melepaskan peluang untuk menikmati Kopi Kampung yang viral di Pasar Saloma

Program ini merupakan platform untuk meraikan warisan, seni dan tradisi negeri Selangor yang berlangsung selama lima hari bermula 22 hingga 26 Januari 2025.

Beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam, Pasar Saloma menjadi medan selera pilihan ramai yang menawarkan pelbagai jenis menu termasuk klasik, viral dan moden.

Salah satu gerai di Pasar Saloma yang menjual makanan tradisional antaranya ubi rebus, lempeng dan apam lambung

Pengunjung, Safura Amdan, 38, berkata dia mengetahui mengenai Pasar Saloma ini menerusi media sosial dan teruja kerana banyak pilihan menu yang ditawarkan termasuk menu tradisional dan viral.

“Saya sanggup datang dari Rawang semata-mata untuk merasai makanan viral antaranya mochi dan kopi kampung dan saya juga membeli makanan yang jarang saya jumpa sebelum ini,”
katanya yang ditemui di Pasar Saloma, kelmarin.

Sementara itu, penjawat awam, Zahrah Johari, 38, berkata Pasar Saloma sangat sesuai untuk mereka yang gemar jalan-jalan cari makan.

“Tempat ini memang sesuai untuk bersantai sambil menikmati makanan viral dan klasik, memang rambang mata kalau boleh semua nak cuba, kalau tak beli rasa menyesal,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif kerajaan negeri menganjurkan program kebudayaan seperti ini dapat memberi pendedahan kepada golongan belia.

Pasar Saloma bukan sahaja menawarkan kepelbagaian makanan tetapi juga suasana santai yang sesuai untuk pengunjung beristirahat sambil menikmati persembahan budaya yang diadakan sepanjang Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025.

-AA-

Tinggalkan komen anda