
Laporan/foto: Firdaus Rashid/Mawarni Ismail (Barat Daya)
BATU MAUNG, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah Madani (JRM) sempena Karnival Sungai Ara Madani 2025 yang berlangsung di perkarangan Masjid Al Huda, semalam berjaya menarik lebih 500 penduduk tempatan mencetuskan suasana meriah sejak awal pagi.

Timbalan Ketua Menteri 1 melawat reruai jabatan
Pengunjung mula beratur panjang seawal pukul 8.00 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, telur, daging dan ayam segar pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Antara pengunjung yang hadir Program Jualan Rahmah Madani
Menurut Amiera, 31, salah seorang pengunjung setia program ini, peluang seperti ini sentiasa dinanti-nantikan.
“Setiap kali Jualan Rahmah diadakan dekat-dekat sini, saya pasti tidak akan melepaskan peluang.
“Harga yang ditawarkan sangat berbaloi dan membantu saya untuk berjimat,” katanya.
Program ini diadakan sebagai usaha proaktif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat sekali gus meringankan beban ekonomi golongan berpendapatan rendah.
Jualan Rahmah yang berakhir pada pukul 12.00 tengah hari turut menyaksikan kehadiran Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, yang memuji inisiatif ini sebagai langkah berkesan mendekati rakyat dan memahami keperluan komuniti.
Rata-rata penduduk berharap agar inisiatif ini diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah berterusan membantu mereka menguruskan kos sara hidup.
-AA-