
Laporan/foto:Freda Mathew Manggi (Sarawak)
KUCHING, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Borneo Farm Empurau Resort (BEFR) merupakan kawasan desa seluas 69 ekar di kaki Gunung Sadong yang telah ditransfomasikan menjadi pusat peranginan dengan menyediakan pengalaman eko-agro pelancongan yang unik dan taman tema air mini.
Taman ini dibangunkan dengan pelbagai tarikan seperti taman tema air mini, kolam renang, zoo mini, pusat penanaman akuaponik dan fertigasi, trek hutan, kebun buah-buahan serta sayuran organik, penternakan ikan air tawar dan banyak lagi.

Mesin penapis air bagi proses penyaluran air dari kolam ikan ke tempat penanaman sayur hidroponik.
Keunikan yang paling bernilai di sini adalah BEFR menjadi pusat dan akuarium penternakan ikan eksotik termahal di Malaysia iaitu ikan empurau atau nama saintifiknya Tor Tambroides yang dikenali sebagai Emas Borneo yang hidup di sungai.
Menurut Anissa Ani, 29 tahun, salah seorang pekerja di pusat Akuaponik BEFR, menjelaskan bahawa selain menternak ikan empurau dan ikan tilapia di dalam kolam-kolam yang dibina, pusat ini turut memanfaatkan air dari tangki ikan empurau ini dengan menapisnya dan disalurkan untuk proses penanaman sayur-sayuran dengan kaedah Akuaponik iaitu gabungan akuakultur dan hidroponik.

Teknik penanaman sayur Akuaponik.
Di samping menimba ilmu, BEFR amat terkenal sebagai tempat “healing” khususnya pada musim cuti sekolah.
Ibu bapa telah menggunakan kesempatan ini untuk membeli jiwa anak-anak dengan beriadah dan melihat secara dekat serta mempelajari jenis-jenis haiwan dan tanaman di mini zoo sebelum memulakan sesi persekolahan yang akan datang.

Anak-anak seronok mandi-manda di taman tema air mini.
Joshua Awat, 12 tahun dari Saratok menyatakan beliau amat seronok dapat mandi-manda di taman air ini bersama keluarga beliau dan melihat pelbagai jenis haiwan yang terdapat di mini zoo.
Di samping menikmati keindahan suasana ladang dan bermain di taman tema air, para pengunjung juga boleh menginap di sini dengan adanya pelbagai jenis penginapan disediakan dengan pakej bayaran yang berpatutan.
Malah, bagi mana-mana agensi, insutusi, sekolah atau keluarga yang hendak menganjurkan aktiviti, BEFR turut menyediakan kemudahan dewan terbuka dan tertutup mengikut kesesuaian program.
-RJ-