Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sultan Selangor Tidak Berkenan Cadangan Wujudkan Garis Panduan Kepada Umat Islam

By 9 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di Selangor.

Menurut Baginda, cadangan itu dibuat pada waktu yang tidak sesuai kerana ketika ini usaha mengeratkan amalan muhibbah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama sedang dipergiatkan.

Titah Baginda, polemik yang tercetus ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin.

“Islam menerusi al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah semalam.

“Sebagai sebuah negara majmuk, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.

“Setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan,” titah baginda.

Baginda menasihatkan umat Islam di Selangor agar sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama, melakukan segala suruhan ALLAH SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya.

“Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki serta memantapkan keyakinan kepada ALLAH SWT, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar,” titah baginda.

-ZS-

Tinggalkan komen anda