Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Hari Keluarga, Pelihara Hubungan Keluarga Bergenerasi

By 11 Februari 2025Februari 13th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Malina Jamarin (Tuaran)

TUARAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Acara Hari Keluarga amat sinonim sebagai aktiviti wajib yang biasanya akan dianjurkan apabila masuk musim persekolahan melibatkan ramai ahli keluarga yang sedang bercuti.

Kesempatan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh 50 orang ahli keluarga Dumoi untuk menganjurkan Sambutan Hari Keluarga Dumoi dengan tujuan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara mereka.

Suhaity (tiga dari kiri) bergambar bersama keluarga pada Hari Keluarga kemarin.

Sebagai ahli keluarga, Suhaity Kaimin, 49, menganggap aktiviti yang diluangkan bersama secara beramai-ramai ini merupakan kesempatan terbaik bagi mengenali ahli keluarga yang lain dengan lebih dekat.

“Apabila sesi persekolahan bermula, agak sukar untuk seluruh ahli keluarga berkumpul kerana masing-masing sibuk dengan urusan harian.

“Cuti persekolahan seperti ini memberi ruang kepada kami untuk berkumpul bersama-sama dan ketika sekolah bermula, kami jarang dapat meluangkan masa berkualiti bersama kerana kesibukan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Program Hari Keluarga Dumoi di Daerah Kecil Kiulu di sini pada Ahad.

Saisah ketika mengikuti acara suami isteri pecah belon.

Sementara itu, bagi Saisah Dumoi, 57, bertugas sebagai pendidik sememangnya memberi kesempatan buatnya untuk berhimpun bersama saudara mara terutama yang menetap jauh daripada kampung halaman.

“Cuti sekolah adalah peluang untuk berkunjung ke sanak saudara yang tinggal jauh, bahkan di daerah berlainan dan inilah masanya untuk saya meluangkan masa bersama keluarga.

“Apabila berkumpul, kami bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan, tetapi juga dapat berkongsi cerita dan bertukar-tukar pandangan mengenai kehidupan,” kongsinya.

Maslin semasa menyampaikan hadiah acara sukan kanak kanak semasa Hari Keluarga berlangsung kemarin.

Berkongsi pandangannya Maslin Nasih, 42, berkata,hari keluarga adalah saat yang tepat untuk merakamkan kenangan manis untuk tatapan generasi yang akan datang.

“Berkumpul secara ramai-ramai dalam program Hari Keluarga ini sangat menggembirakan. Kami dapat mengadakan aktiviti sukaneka yang membuatkan semua berasa gembira dan melupakan seketika segala tekanan kerja,” ujarnya.

Turut teruja dengan program Hari Keluarga, Nur Atiqah Danddy, 22, percaya aktiviti seumpanya memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali lebih dalam sejarah dan salasilah keluarga.

“Sambutan Hari Keluarga ini adalah platform terbaik dilaksanakan setiap tahun, yang mana semua boleh berinteraksi sesama keluarga pelbagai, dan inilah masanya untuk generasi muda didedahkan dengan salasilah keluarga agar ikatan kekeluargaan ini terus terpelihara sampai bila-bila,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda