
Laporan/Foto: Mohammad Abd Rahman (Sarawak)
SERIAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Ketinggian air sungai mencecah enam kaki merupakan antara banjir terburuk pernah disaksikan oleh warga setempat di Kampung Tebakang Hilir, sejak 11 tahun lalu.

Antara ahli-ahli kelab belia membantu mengagihkan barangan keperluan harian kepada warga kampung Tebakang.
Menurut Roslan Tarik, 60, menceritakan detik cemas apabila air sungai Kayan, dekat Kampung Tebakang tiba-tiba membanjiri halaman dengan pantas sehingga mencecah lebih enam kaki pada penhujung Januari lalu.
“Ianya banjir terburuk sejak 2014 dan air datang sangat laju dan kami tidak sempat memindahkan kereta,” kata beliau ketika ditemui semalam dan bersyukur bahawa banjir telah surut.
Manakala, Sufian Arshad, 58, turut berkongsi pengalaman getir apabila rumahnya hampir ditenggelami air banjir akibat hujan lebat tidak berhenti pada minggu lalu.
“Air sangat deras dan pada jam 10 pagi ia sudah naik paras pinggang menyebabkan kami sekeluarga menyelamatkan apa yang patut,” ujarnya.

Abang Affandy menyampaikan barangan keperluan asas kepada warga kampung Tebakang Hilir yang terjejas banjir.
Sehubungan itu, Pengerusi Kelab Belia Inspirasi Bandar Kuching, Abang Affandy Abang Rosli bersama ahlinya turun padang menyantuni serta menyampaikan barangan keperluan asas kepada warga kampung Tebakang Hilir yang terjejas banjir.
-RJ-