
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah
ARAU, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengumumkan harga beras putih tempatan RM2.60 sekilogram dikekalkan dan penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 akan mula dilaksana pada 16 Februari ini.
Menurut seorang petani Maidin Kassim, 67, ketika ditemui di kawasan sawah bendang di Alor Redis, di sini petang semalam inisiatif ini membuktikan kerajaan mendengar keluhan petani.

Mohamad Asri (kiri) turut berkongsi maklumat penyelarasan harga lantai belian padi.
“Kami mengucapkan terima kasih dengan sedikit sebanyak kami para petani dapat menampung kos menghasilkan padi seperti kos input pertanian, baja dan racun,” ujarnya.
Pengerusi Komuniti MADANI Alor Redis yang juga seorang petani Ali Said, 67, berkata dengan pengumuman penyelarasan ini ia dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi.
Salah seorang ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Mua, Tambun Tulang Mohamad Asri Hamad, 60, turut menghargai usaha dan komitmen yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sebaik sahaja mendengar pengumuman daripada Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tengah hari tadi (Khamis), saya terus berkongsi maklumat berkenaan penyelarasan harga lantai belian padi dan rata-rata berasa lega dengan pengumuman tersebut.
“Alhamdulillah, Kerajaan Persekutuan pada hari ini mendengar keluhan, rintihan kami dan terus membuktikan komitmen membantu kami para petani bukan sahaja di Perlis tapi juga seluruh Malaysia,” ujarnya.
-ZS-