
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Firdaus Rashid (Barat Daya)
BAYAN BARU, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Hanfu yang bermaksud ‘Busana dari Orang Han,’ merupakan pakaian tradisional masyarakat Cina sejak zaman Dinasti Han, Tang, Song dan Ming.

Antara busana Hanfu yang terdapat dalam koleksi butik.
Selain mencerminkan keindahan seni tekstil, setiap rekaan Hanfu membawa maksud tersirat yang menzahirkan nilai murni serta keperibadian luhur dalam budaya masyarakat Cina.
Menurut pemilik butik busana tradisional Sam Wan Yee, 38, usaha mengekalkan adat resam dan warisan berabad ini amat penting bagi memastikan generasi akan datang terus mengenali serta menghargai keindahan pakaian tradisional mereka.
“Kesinambungan warisan ini perlu dipelihara agar Hanfu tidak hanya menjadi sebahagian daripada sejarah, tetapi terus dikenali dan dihargai dalam dunia fesyen moden,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif, di sini semalam.

Busana pengantin perempuan Dinasti Ming antara yang menjadi perhatian pelanggan.
Bermula dengan minat yang mendalam, Sam bersama seorang rakan kongsi nekad mengusahakan perniagaan Hanfu yang kini telah beroperasi hampir tujuh tahun.
Sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya ketika majlis-majlis khas seperti perkahwinan dan perayaan Tahun Baharu Cina.
Sam turut melahirkan rasa teruja untuk mempromosikan Hanfu kepada masyarakat umum dan berharap usaha ini dapat memperkukuh penghargaan terhadap warisan budaya agar terus mendapat tempat di hati generasi masa kini.
-ZS-