
Laporan/foto: Muhammad Irsyad/Nurul Habibah (Manjung)
SITIAWAN, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Seni batik kini turut berkembang di Kampung Sitiawan yang semakin dikenali sebagai pusat penghasilan batik tempatan melalui Program Batik Kampung Sitiawan yang diasaskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sitiawan dengan sokongan dana geran daripada Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) telah mula beroperasi di sini pada Mac tahun lalu.

Mat Radzi Said ketika ditemu ramah semalam.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengembangkan produksi batik tempatan, malah turut menjadikannya sebagai daya tarikan baharu di kawasan ini.
Menurut Pengerusi JPKK Kampung Sitiawan Mat Radzi Said, batik yang dihasilkan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan tempahan yang semakin meningkat.
Tambah Mat Radzi Said, keistimewaan batik ini terletak pada pemeliharaan kaedah tradisional dalam proses pembuatannya, menjadikannya lebih eksklusif dan bernilai tinggi.
“Pengunjung yang datang ke sini berpeluang membeli, melihat serta mempelajari sendiri proses pembuatan batik secara tradisional di mana usaha ini bertujuan menarik minat masyarakat serta menghargai seni warisan negara.

Warga JPKK Kampung Sitiawan merangkap pasukan Batik Kampung Sitiawan.
“Dengan adanya sokongan dana geran SejaTi MADANI, kos pembuatan batik dapat ditampung, sekali gus membantu memperkasa industri batik tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, terutamanya golongan wanita,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya lagi, pihaknya berhasrat menjadikan Batik Kampung Sitiawan sebagai salah satu mercu tanda utama Daerah Manjung, sekali gus memperkukuhkan lagi warisan seni batik di Negeri Perak.
-ZS-