Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Yun Si Tukang Kasut Malam

By 16 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah

KANGAR, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Tukang kasut kebiasaannya melakukan tugasnya pada waktu siang dan di satu lokasi tetap bagi menanti pelanggan.

Namun, berbeza dengan perniagaan Tukang Kasut Semadong ini, ketika ditemui di hadapan Pasar Raya Ishah Bintong, di sini malam kelmarin.

Tukang Kasut Malam beroperasi siang dan malam.

Sambil cahaya daripada lampu yang digantung di motosikal menyuluhnya ketika menantikan pelanggan, Shamsul Abdul Rani, 41, atau Yun kelihatan leka menonton berita secara dalam talian di telefon pintar.

Yun telah berpengalaman selama 24 tahun membaiki pelbagai jenis kasut dan zip beg.

“Perniagaan saya ini bermula semenjak lebih 20 tahun lalu setelah menimba pengalaman bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Hanya dengan sebuah motosikal bersama tempat menyimpan barang-barang dan peralatan membaiki kasut di tempat duduk belakang, Yun bukan hanya beroperasi di kedainya sahaja tetapi juga menawarkan khidmat ke lokasi yang diminta pelanggan.

“Saya berada di kedai saya yang terletak berhampiran MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) Beseri pada waktu siang, namun apabila malam saya selalu berada di lokasi ini (di hadapan bangunan IBE) sambil menanti panggilan pelanggan yang menghubungi saya untuk datang ke lokasi mereka.

Antara alat membaiki kasut dan zip beg.

“Saya boleh perbaiki beg tarik, pelbagai jenis kasut, seperti kasut keselamatan dan juga perbaiki zip-zip beg yang ada masalah,” ujarnya ketika sedang membaiki zip beg.

Katanya, membaiki kasut merupakan punca rezeki utamanya.

“Tidak semua orang akan buang yang rosak sikit-sikit, yang mana boleh diperbaik, saya akan bantu baiki.

“Tak semua mampu nak beli yang baharu atas kerosakan yang sikit-sikit, apatah lagi barang-barang yang punya nilai sentimental,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda