
Laporan/foto: Muhammad Arief (Marang)
MARANG, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Hari kedua Karnival Santuni MADANI di Kampung Pekan Bukit Payong yang berlangsung di Taman Rekreasi Bukit Payung, kelmarin menyaksikan sambutan luar biasa dengan Program Jualan Rahmah (PJR) menjadi tarikan utama pengunjung.
Inisiatif PJR yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah menarik perhatian orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program Jualan Rahmah diserbu pengunjung seawal pukul 7.30 pagi.
Beras, minyak masak, gula, sayur-sayuran serta pelbagai barangan dapur lain dijual pada harga lebih berpatutan, membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Seorang pengunjung, Rozilawati Mohd Yusof, 40, meluahkan rasa syukur atas inisiatif ini yang meringankan perbelanjaan harian mereka.
Menurutnya, PJR ini sangat membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga mampu milik dan berharap ianya dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menawarkan diskaun kompaun saman sehingga 50 peratus bagi kategori saman tertentu memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan tunggakan saman dengan lebih mudah.

Reruai PDRM mendapat sambutan pengunjung yang tidak ingin melepaskan peluang mendapatkan pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus.
“Karnival ini bukan sekadar pusat jualan, malah berperanan mempromosikan agenda pembangunan MADANI yang inklusif berlandaskan nilai-nilai kemasyarakatan,” katanya.
Lebih 20 reruai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta disediakan memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti fun walk dan cabutan bertuah.
Kemeriahan yang ditampilkan di Karnival Santuni MADANI jelas membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa.
-ZS-