
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini
BACHOK, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Pelancaran Kadet Merpati Komuniti MADANI x NADI Daerah Bachok Batch 1/2025 berlangsung dengan penuh meriah di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Beris Kubur Besar, di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor, ketika merasmikan program menekankan kepentingan Kadet Merpati sebagai saluran efektif dalam menyampaikan dasar kerajaan serta memperkukuhkan hubungan masyarakat dengan kerajaan.
“Burung merpati digunakan untuk menghantar pesanan, begitu juga Kadet Merpati ini yang menjadi simbol penyebar maklumat kerajaan kepada komuniti,” jelasnya.

Pemantauan Kadet Merpati x NADI Beris Kubur Besar menjalani sesi pembelajaran kendiri sebaik selesai sesi pembelajaran ‘Klik Dengan Bijak’.
Seramai 15 orang Kadet Merpati dari NADI Beris Kubur Besar menghadiri majlis ini sebagai sebahagian daripada Komuniti MADANI Keluat yang dipadankan dengan pusat tersebut.
Selain itu, lapan lagi Komuniti MADANI dan tujuh lagi NADI di daerah Bachok akan menjalankan kelas pembelajaran Kadet Merpati mengikut jadual yang telah ditetapkan, iaitu pada Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan.
Majlis ini juga mengimbas kembali pelancaran penjenamaan Komuniti MADANI x NADI pada 8 Jun lalu yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
Pelancaran ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam literasi digital.
Antara yang mendapat perhatian adalah sesi pembelajaran ‘Klik Dengan Bijak’, yang memberikan pendedahan mengenai keselamatan digital serta tanggungjawab dalam penggunaan Internet.

Ketua Komuniti MADANI tidak menghentikan sesi pembelajaran mereka walaupun mempunyai Kadet Merpati di bawah seliaan mereka.
Selain itu, peserta turut diuji melalui kuiz Kahoot, yang menguji pemahaman mereka dalam topik literasi digital dan nilai-nilai komuniti.
Bagi mengeratkan semangat kerjasama, aktiviti fizikal bertemakan Squid Game turut diadakan, mencabar daya tahan dan kesabaran peserta.
Majlis pelancaran ini menjadi bukti kerjasama erat antara Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Kelantan, Pejabat Penerangan Daerah Bachok, serta Komuniti MADANI dan NADI Daerah Bachok yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan literasi digital dan membendung jenayah siber dalam kalangan masyarakat setempat.
-ZS-