Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Tiada Drama di Hari Pertama Persekolahan TABIKA KEMAS

By 17 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 51 orang kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun telah mendaftar pada hari pertama persekolahan di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) di Pekan Pendang dengan wajah yang ceria tanpa sebarang insiden tangisan berlaku, di sini semalam.

Para pelajar mendengar arahan yang diberikan oleh guru dan membaca doa sebelum pulang

Ibu bapa memilih untuk menghantar anak ke TABIKA ini kerana sistem pendidikannya yang menerapkan nilai-nilai murni serta pengetahuan asas sejarah negara dan mewujudkan generasi yang cintakan negara serta tanah air.

Selain itu, TABIKA ini turut memberikan pendidikan yang seimbang dari segi ilmu dunia dan akhirat termasuklah mengajar membaca doa, pendidikan agama, menulis, melukis, mewarna dan sebagainya.

Para pelajar menyusun atur kerusi masing-masing sebelum meninggalkan kelas di hari pertama persekolahan

Guru Kelas 1, Rahmah Rejab memaklumkan bahawa sebaik sahaja menghantar anak-anak ke sekolah, para waris diminta agar tidak menunggu anak-anak di pintu kelas masing-masing.

“Ini adalah bagi memberi keyakinan dan mengajar anak-anak supaya lebih berdikari,” ujarnya.

Guru Kelas 2, Shamizah Abd Rahman ketika ditemui menyatakan bahawa kebanyakan yang mendaftar pada hari ini adalah anak-anak melayu yang tinggal di kawasan berhampiran antaranya dari Batu 16, Taman Setia, Bukit Murai, Seberang Pendang dan Taman Selesa.

Yang menariknya, kanak-kanak seawal usia 4 tahun, turut mendaftar di sini, semalam.

Menurut salah seorang waris, Nurul Hidayah Abdul Salam, 37, dari Taman Seri Delima, beliau memilih untuk mendaftar anaknya yang berusia 4 tahun di TABIKA ini kerana amat yakin dengan konsep pendidikan yang dipraktikkan oleh KEMAS dalam mewujudkan pendidikan awal kepada kanak-kanak.

“Saya menghantar anak ke sekolah seawal umur 4 tahun agar dia dapat menyesuaikan diri dan bersedia apabila memasuki alam persekolahan di peringkat rendah nanti.

“Alhamdulillah anak ceria semasa ke sekolah hari ini dan tidak menangis semasa ditinggalkan di pintu kelas,” jelasnya mengakhiri perbualan.

-AA-

Tinggalkan komen anda