
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor
JELUTONG, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perluas pemasangan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung bagi mempertingkat pengawasan aktiviti jenayah maritim.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika ini agensi itu dalam perancangan perluas pemasangan teknologi pemantauan yang dilengkapi dengan radar berteknologi tinggi serta perakam video definisi tinggi.

Penyanyi Datuk Awie (kiri) terima Sijil Anugerah Khas Rakan Strategik.
“Maritim Malaysia mesti jalan seiring dengan melengkapkan teknologi terkini dan ini termasuk SWASLA yang akan diperluaskan ke kawasan-kawasan tumpuan bagi meningkatkan ketepatan dan keberkesanan pemantauan perairan negara secara masa nyata,” kata Saifuddin.
Pemasangan SWASLA akan meliputi kawasan strategik yang dikenalpasti sebagai titik panas aktiviti jenayah maritim seperti penyeludupan dadah, imigran dan barangan bercukai.
Ketika ini dua zon SWASLA beroperasi iaitu di Lumut, Perak bagi memantau perairan Selat Melaka dan Sabah bagi memantau perairan pantai barat negeri itu.
Beliau berkata penggunaan dron dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) juga akan diperluas bagi pemantauan kawasan laut yang sukar diakses.
Katanya, agensi itu sedang memperkukuh operasinya melalui perolehan beberapa kapal peronda luar pesisir yang boleh memuatkan helikopter untuk meningkatkan tempoh keberadaan di laut.
Maritim Malaysia dijadualkan menerima empat helikopter Agusta Westland 189, dua kapal misi pelbagai guna (MPMS) serta empat kapal peronda generasi baharu (NGPV) pada 2026.

Aset Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) terlibat dalam pemeriksaan armada (fleet review) sempena Sambutan Dua Dekad APMM.
Selain pemodenan aset sejajar Pelan Strategik Maritim Malaysia 2023-2033, agensi itu turut melaksanakan Program Repowering serta Ship Life Extension Programme (SLEP) bagi memanjangkan jangka hayat kapal dengan kos lebih efektif.
Dalam pada itu Saifuddin, berkata kerajaan meluluskan beberapa projek fizikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi 2025 termasuk pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Salak Tinggi, pembinaan Pejabat dan Jeti Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan di Teluk Sepanggar serta Jeti Pos Batu Putih di Perlis.
“Maritim Malaysia bakal mempunyai Stesen Udara Maritim di Sandakan Sabah dan sedang menaik taraf jeti-jeti sedia ada bagi menampung keperluan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, di sini kelmarin.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
-ZS-