
Laporan/foto: Lina Shukri/Facebook Bomba Perak Official
PARIT, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Mayat kedua-dua mangsa lemas di Sungai Perak berdekatan Kampung Tepus Parit, di sini sejak Isnin berjaya ditemui, semalam.

Mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi yang dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, mangsa pertama Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, ditemukan pada pukul 4.40 petang manakala mangsa lemas kedua, Muhammad Naufal Aiman Dzulkanain, 16, ditemukan pada 7.00 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 7.30 petang.
“Operasi SAR ini melibatkan seramai 26 Pegawai Bomba dari Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), 14 Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang kampung,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk bedah siasat.
Terdahulu, kedua-dua pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah itu disahkan hilang dibawa arus kira-kira pukul 4.00 petang kelmarin ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam sungai.
Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan dikatakan bermain bola di kawasan beting pasir berhampiran sungai tersebut.
-ZS-