Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Karnival Komuniti Sejahtera Platform Agensi Sedia Khidmat Buat Komuniti

By 27 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Evelyn Lungan/Awangku Hamizan (Belaga)

BELAGA, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Karnival Komuniti Sejahtera di Rumah Panjang Uma Sambop, Long Semutut menjadi platform penting menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan organisasi bagi menyampaikan perkhidmatan, maklumat serta pendidikan kepada komuniti pedalaman.

Ketua Kaum Uma Sambop Long Semutut Matu Lian berkata program seumpama itu amat bermakna kerana memberi peluang kepada penduduk untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, mendapatkan khidmat nasihat serta mengikuti pelbagai aktiviti bermanfaat.

“Walaupun kita tinggal di kawasan pedalaman, kesedaran tentang penjagaan kesihatan tidak boleh dipandang remeh.

“Program ini memberi peluang keemasan kepada kita semua untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan mendapatkan nasihat secara terus,” katanya sempena penganjuran karnival tersebut, semalam.

Justeru, Matu menyeru seluruh penduduk agar tidak melepaskan peluang menghadiri program berkenaan beramai-ramai bagi memanfaatkan kemudahan disediakan, mendengar ceramah serta mengunjungi reruai pelbagai agensi.

Karnival selama tiga hari yang bermula 2 hingga 4 Jul ini memfokuskan kepada tawaran pameran, perkhidmatan, pemeriksaan kesihatan dan perkongsian maklumat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Matu turut merakamkan penghargaan kepada pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuching yang memilih rumah panjang berkenaan sebagai lokasi pelaksanaan program, selain menghargai sokongan Sarawak Energy Berhad (SEB) selaku rakan strategik.

Beliau berharap penganjuran karnival tersebut mencapai objektif dalam meningkatkan tahap kesihatan masyarakat setempat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pelbagai agensi yang terlibat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda