Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pesawah Sambut Baik Penyelarasan Harga Lantai Belian Padi

By 19 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Izham/Shahrizan Ismail (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik yang mula berkuat kuasa pada 16 Februari lalu disambut baik oleh golongan pesawah di kawasan Sungai Manik, di sini.

Rozaini (kanan) ketika ditemu bual.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Manik Lama Kanan Rozaini Abd Hamid ketika ditemui semalam, berkata kenaikan harga lantai belian padi yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini disambut baik oleh golongan pesawah sepertinya.

“Langkah kerajaan ini dapat mengimbangi kenaikan kos untuk penanaman padi terutama melibatkan kenaikan harga racun, baja dan jentera pertanian.

“Sekiranya harga padi kekal pada takuk lama, keuntungan kami mengecil dan tidak mustahil kami akan terus-menerus mengalami kerugian,” katanya yang sudah lebih 30 tahun menjadi pesawah.

Malaysia Aktif turun padang bertemu golongan petani dan pesawah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Komuniti MADANI Sungai Manik Zainuddin Mat Husin, berkata penyelarasan harga yang dilaksanakan ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan petani dan pesawah.

“Harapan kami agar harga lantai padi ini bersifat kekal dan tidak berubah-ubah dalam masa terdekat dan pada masa sama kita mahu kerajaan terus menaikkan harga lantai padi pada masa hadapan sejajar dengan kos penanaman padi yang ditanggung oleh pesawah,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda