
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Inspektorat Penguatkuasaan Imigresen dimulakan sebagai langkah baharu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menimbulkan suasana dan perasaan selamat dalam kalangan masyarakat.

Raymond bersama wakil majikan dan para pekerja asing.
Menurut Pengarah JIM Labuan Raymod Entalai, pihaknya turut melaksanakan pendekatan tersebut selaras Peluncuran Inspektorat Penguatkuasaan Imigresen, yang disempurnakan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban pada 13 Februari yang lalu.
“Ini adalah inisiatif JIM untuk menimbulkan perasaan selamat kepada masyarakat melalui pemeriksaan secara rutin dan berterusan yang dijalankan di premis-premis yang berkaitan.
“Pemeriksaan ini juga bagi memastikan para majikan mematuhi SOP (Prosedur Pengendalian Standard) untuk menggaji pekerja asing dan pelekat khas akan ditampal sebagai tanda premis itu telah melalui inspektorat,” katanya yang ditemui semasa Inspektorat Penguatkuasaan Imigresen di dua premis, di sini semalam.

Pemeriksaan secara rutin JIM memberi keyakinan rakyat terhadap keselamatan negara.
Jelasnya, pada pemeriksaan tersebut seramai 152 pekerja diperiksa termasuk 64 orang pekerja asing.
“Menerusi pemeriksaan hari ini kita dapati majikan mematuhi segala garis panduan namun kita akan meneruskan pemeriksaan di premis sama dan premis lain dari masa ke masa,” jelasnya.
Tambahnya, Labuan merekodkan seramai 1215 pekerja asing yang berdaftar dengan JIM Labuan pada tahun 2024.
-ZS-