
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Muhammad Abdul Hadi (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 21 Feb (MalaysiaAktif) – Program Latih Amal Simulasi Keselamatan Empangan Sungai Perak Tahun 2025 di Dewan Orang Ramai Sayong Lembah, di sini pagi semalam bertujuan menilai tahap persediaan dan kesiapsiagaan pelbagai pihak dalam menghadapi situasi kecemasan berkaitan empangan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar, berkata kerajaan misalnya NADMA sentiasa memberi perhatian dan bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan semua langkah yang dirancang dalam latih amal simulasi dapat dilaksanakan dengan jayanya di lapangan.

Seluruh pihak yang menjayakan Program Latih Amal Simulasi Keselamatan Empangan Sungai
Perak.
“Kepentingan simulasi ini adalah kita dapat lihat semula sebarang kekurangan untuk ditambah baik dan apa yang penting, semua pihak boleh mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” ujarnya ketika berucap merasmikan program.
Sementara itu, Pegawai Daerah Nazri Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam program ini.
“Simulasi ini menjadi kaedah pembelajaran yang terbaik dalam pengurusan bencana di peringkat daerah memandangkan bencana itu sendiri adalah satu situasi yang tidak dijangka,” katanya.
Bagi murid, Muhammad Airis Rizqullah Mohd Nor Hafiz, 12, dari Sekolah Kebangsaan Sayong yang hadir sebagai peserta pula berkongsi keterujaan memandangkan itu pengalaman pertamanya dalam program seumpama itu.
“Ilmu baru yang dipelajari hari ini adalah dapat melihat sendiri langkah-langkah yang diambil sekiranya berlaku bencana dan kita sama-sama boleh meningkatkan tahap keselamatan bukan saja terhadap diri tetapi juga keluarga,” ujarnya.

Muhammad Airis (kanan sekali) berkongsi perasaan terlibat dalam program ini.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Kangsar, NADMA, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan TNB Research (TNBR) ini melibatkan kira-kira 250 peserta termasuk penduduk dan pelajar dari daerah ini.
Hadir sama Head Corporate Affairs TNB Genco Wan Hairul Razli Wan Ahmad Kushaari.
-ZS-