Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tawaran Istimewa Sempena Pameran TMS 2025

By 21 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 21 Feb (MalaysiaAktif) – Kakitangan dan pengunjung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berpeluang menikmati pelbagai tawaran istimewa sempena Pameran Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 di Foyer Pejabat SUK Selangor.

Pengurus Acara dan Pelancongan Fokus, Tourism Selangor Mohamad Faroul Mustaffa Ngadamin, berkata inisiatif ini diadakan bagi mempromosikan dan memperkenalkan produk-produk pelancongan negeri Selangor.

Zurainishamsiah Sarpin bersama rakannya tidak melepaskan peluang mendapatkan kopi percuma daripada Home coffee sempena Pameran TMS 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Sambutan sangat menggalakkan terutamanya dari kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Selangor yang ingin mendapatkan pakej bufet Ramadan, pakej hotel dan taman tema di samping dapat menjalani saringan kesihatan secara percuma.

“Lebih kurang 20 hotel dan 10 taman tema menyertai pameran ini yang menawarkan pelbagai promosi dengan harga istimewa termasuk pakej bufet Ramadan,” katanya yang ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Menurutnya lagi, Tourism Selangor turut menyediakan kopi dan aiskrim secara percuma setiap hari untuk pengunjung serta kemunculan maskot SPARK bagi mempromosikan TMS 2025

Sementara itu, penjawat awam Zurainishamsiah Sarpin, 46, teruja hadir ke program ini kerana pelbagai pakej istimewa sehingga 50 peratus ditawarkan kepada penjawat awam.

Mohamad Faroul bersama maskot SPARK sempena pameran Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.

“Bila adanya program sebegini, baru saya sedar banyak rupanya tempat yang menarik di Selangor yang boleh dilawati ditambah dengan diskaun istimewa yang ditawarkan dapatlah saya membawa keluarga saya bercuti,” ujarnya.

Pameran TMS 2025 diadakan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertama Selangor tahun ini berlangsung selama tiga hari sehinga hari ini.

Selangor menyasarkan untuk menerima lapan juta pelancong sepanjang TMS 2025 dengan nilai transaksi ekonomi dijangka mencecah RM11.7 bilion.

-ZS-

Tinggalkan komen anda