Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Modal RM800, Kini Usahawan Keropok Tembusi Pasaran Antarabangsa

By 18 Februari 2025Februari 23rd, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosli Muhammad

PASIR PUTEH, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Berbekalkan modal kecil hanya RM800, Wan Nor Azlina Wan Azmi, 40, berjaya mengembangkan perniagaan keropoknya hingga ke peringkat antarabangsa.

Kini, perusahaannya yang beroperasi di Batu 23, Cherang Ruku, Semerak, di sini bukan sahaja memenuhi permintaan tempatan tetapi juga berjaya menembusi pasaran Singapura dan Thailand.

Kerja-kerja menggoreng keropok segera menggunakan kawah.

“Kami bangga kerana produk tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada usahawan kecil lain untuk berani melangkah lebih jauh,” katanya.

Pengusaha Perusahaan Keropok Mini Kak Long, ini pada mulanya hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan di dapur rumahnya tanpa bantuan mesin bagi memenuhi permintaan sekitar Cherang Ruku dan Kuala Besut.

“Saya bermula dengan simpanan sendiri dan mengusahakan keropok secara manual.

“Alhamdulillah, permintaan semakin meningkat dan saya nekad untuk membawa perniagaan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Melihat potensi yang ada, Wan Nor Azlina membuka sebuah kilang kecil dan menggaji beberapa penduduk kampung sebagai pekerja.

Keropok keping yang siap dipotong perlu dijemur sebelum dijual.

Usahanya turut mendapat sokongan daripada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak, yang menyediakan latihan, bimbingan serta memberi sebuah peti sejuk beku untuk menyimpan bahan mentah.

“Bantuan ini sangat membantu dalam memastikan bekalan bahan mentah kami terjamin, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran,” jelasnya, semalam.

Perniagaannya semakin berkembang apabila Perusahaan Keropok Mini Kak Long meraih tempat kedua dalam Anugerah Perusahaan Industri Kecil Yang Berjaya Peringkat Daerah Pasir Puteh 2024, anjuran Hibiscus Petroleum Berhad.

Perjalanan Wan Nor Azlina membuktikan bahawa dengan usaha gigih dan sokongan yang betul, perniagaan kecil juga mampu mencapai kejayaan besar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda