Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Yayasan TM dan KIDS Kelantan Bantu Pelajar Mangsa Banjir di Kuala Krai

By 22 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof

KUALA KRAI, 22 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 40 pelajar yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah yang terjejas akibat banjir di daerah ini menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi Misi Bantuan Banjir: Kembali ke Sekolah Negeri Kelantan (Daerah Kuala Krai) anjuran Yayasan TM dan KIDS Kelantan, di sini kelmarin.

Penerima sumbangan mendaftar di meja pendaftaran.

Bantuan berupa beg sekolah, pakaian seragam, alat tulis serta peralatan lain diberikan bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan.

Selain itu, program ini juga bertujuan menyuntik semangat kepada para pelajar agar lebih berkeyakinan untuk menghadapi sesi persekolahan baharu.

Turut menjayakan misi ini adalah Yayasan Al-Maa’uun serta Kelantan Four Wheel Drive Association yang bekerjasama dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.

Seorang penerima, Mohd Amin Mat Diah, 58, menyatakan rasa syukur atas sumbangan yang diterima untuk anaknya.

“Saya berharap program ini diteruskan pada masa akan datang kerana banyak memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Krew program bergambar kenangan.

Sementara itu, Zaliha, 65, nenek kepada seorang penerima bantuan, turut meluahkan rasa lega dengan inisiatif ini.

“Bantuan ini dapat meringankan beban kewangan saya dalam menyediakan keperluan persekolahan cucu,” ujarnya ketika ditemui di majlis penyerahan sumbangan.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja membantu dari segi material tetapi juga mencerminkan kepedulian masyarakat dalam menyokong pendidikan dan kebajikan kanak-kanak di Kelantan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda