Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Delegasi ASEAN Teruja Melawat Destinasi Ekopelancongan Kampung Agong

By 23 Februari 2025Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shamsul Bahari Abdul Shukor

PENAGA, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Kampung Agong, destinasi ekopelancongan yang terkenal dengan keunikan landskap kampung tradisional Melayu, menerima kunjungan delegasi ASEAN, di sini semalam.

Delegasi cuba menghasilkan replika belalang menggunakan daun kelapa.

Kunjungan ini bertujuan memperkenalkan salah satu destinasi dengan keindahan dan keunikan warisan desa di Malaysia.

Delegasi yang terdiri daripada wakil negara-negara ASEAN itu dibawa melawat sekitar taman tema agro tersebut yang terkenal dengan sawah padi menghijau, rumah kampung klasik serta pelbagai tarikan berkonsepkan warisan budaya.

Mereka turut berpeluang merasai sendiri pengalaman menyertai aktiviti tradisional seperti mencanting batik, menghasilkan replika belalang dan serunai menggunakan daun kelapa dan mencuba kuih warisan tempatan seperti pulut kacau dan baulu.

Delegasi ASEAN bergambar kenangan.

Menurut wakil delegasi dari Indonesia, Vivinia, 35, lawatan ke Kampung Agong memberikan pengalaman unik yang memperlihatkan keindahan budaya desa Malaysia.

“Kami sangat terpesona, destinasi pelancongan ini menjadi simbol bagaimana elemen tradisional dan alam semula jadi boleh dipelihara dengan baik,” katanya.

Usai lawatan di Kampung Agong, delegasi turut dibawa melawat ke Galeri Arkeologi Guar Kepah serta Rumah Berhala Guan Ying.

-ZS-

Tinggalkan komen anda