Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Pasar Tomborungus: Nadi Ekonomi Penduduk Kudat

By 23 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Florinah Lunsin/Nadia M Lawaji (Kudat)

KUDAT, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Pasar Tomborungus di Kudat berfungsi sebagai pusat ekonomi dan sosial, menyediakan tempat bagi penduduk dan nelayan untuk menjual hasil laut serta pertanian, sekali gus menjadi sumber pendapatan utama mereka.

Peniaga Siti Datu Iting, 48, berkata beliau tetap bersemangat berniaga di pasar ini walaupun menghidap kanser usus tahap tiga.

Siti ketika ditemui di Pasar Tomborongus.

Katanya, pasar tersebut bukan sahaja sumber pendapatan utama penduduk tetapi perjuangan meneruskan hidup terutama bagi yang menghadapi cabaran kesihatan.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Lembaga Bandaran Kudat (LBK) kerana memberi kami peluang untuk berniaga di pasar ini bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

“Pasar ini menjadi sumber utama pendapatan bagi keluarga kami,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau tabah menghadapi cabaran dalam perniagaan terutama apabila makanan yang dijual tidak habis dan terpaksa dibuang begitu sahaja.

“Namun, saya sedar bahawa cabaran ini adalah sebahagian daripada kehidupan sebagai peniaga kecil.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, keperluan untuk membesarkan anak-anak serta perbelanjaan perubatan yang perlu ditanggung, saya tidak mempunyai pilihan selain terus berusaha dan bekerja lebih keras,” katanya ketika ditemui di Pasar Tomborogus Daerah Kudat, di sini pada Jumaat.

Ongunsiri ketika ditemui di Pasar Tomborungus.

Sementara itu, Ongunsiri Tuawan, 54, berkata melalui perniagaan menjual kelapa muda di pasar Tomborungus, ia sedikit sebanyak membantu kehidupannya.

“Hasil jualan di pasar dapat menampung perbelanjaan harian keluarga, terutamanya untuk membesarkan lima orang anak,” jelasnya.

“Saya berharap kerajaan dan pihak berwajib mempertimbangkan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di kawasan pedalaman agar memudahkan mereka menjalankan perniagaan dengan lebih aktif,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda