
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Mohd Khairulnizam Yunus (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Abdul Hanis Mohd Daud dan Husna Saifulzaman telah dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Kategori Dewasa Lelaki dan Perempuan di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan (MTHQNS) 1446/2025, di sini Jumaat lalu.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyampaikan Titah Penutup.
Kedua-duanya yang mendapat markah 92.25 dan 89.08 peratus membawa pulang wang tunai, hadiah iringan beserta sijil penyertaan.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah MTHQNS 1446/2025 telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, sebanyak 71 qari dan qariah dari seluruh Negeri Sembilan bertanding bagi merebut gelaran Johan dan seterusnya mewakili Negeri Sembilan ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung pada penghujung April nanti di Perlis.

Orang ramai yang hadir.
“Saya berharap dengan majlis tilawah yang dianjurkan setiap tahun ini boleh melahirkan bakal hufaz dan hafizah yang berkaliber dan berintegriti tinggi dalam menjayakan konsep Malaysia MADANI yang dinspirasikan oleh Perdana Menteri.
“Akademi Taranum Negeri Sembilan dilihat sebagai platform bagi memberikan peluang kepada semua untuk mendapatkan latihan secara intensif dalam menambah baik bacaan al-Quran,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan penutup.
Majlis turut dihadiri Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol Datuk Muhammad Abdullah dan barisan pimpinan kerajaan negeri.
-ZS-