Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Rukun Tetangga Penggerak Komuniti Progresif

By 24 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil inisiatif untuk memperkasa dan memperkukuhkan peranan Rukun Tetangga (RT) sebagai Penggerak Komuniti Progresif dengan menambah lagi sebanyak 300 buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang terpilih untuk diletakan di bawah program RT Progresif pada tahun ini.

Hasnol ketika berucap di majlis tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, terdapat lapan bidang tum­puan telah ditetapkan untuk menjadikan RT Progresif sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya membangun komuniti progresif iaitu Ekonomi dan Sara Hidup; Keselamatan dan Ketahanan Komuniti; Kepimpinan; Kesejahteraan Komuniti; Pembelajaran Sepanjang Hayat; Alam Sekitar, Warisan dan Budaya; serta Daya Cipta.

“Antara objektif RT Progresif ini adalah ia memberi fokus kepada penghasilan atau pengeluaran produk, pengusahaan tanaman atau penternakan untuk menjana pendapatan kepada komuniti Rukun Tetangga tersebut,” katanya.

Sesi dialog turut diadakan.

Hasnol berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bersama Agensi Kementerian Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bagi negeri Perlis yang dihadiri lebih daripada 200 pegawai dan anggota agensi, jabatan dan kementerian tersebut di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, di sini semalam.

Menurutnya lagi KPN telah menerima peruntukan berjumlah RM20 juta untuk penubuhan RT Progresif pada tahun ini dan ia juga sebagai tambahan kepada 152 RT Progresif yang sedia ada pada tahun lepas.

-ZS-

Tinggalkan komen anda