
Laporan/foto: Siti Aminah Abdullah (Kinta)
IPOH, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Program rintis Future Health for All (FH4A) bertemakan ‘Kesihatan Menghubungkan Rakyat’ di Dewan Komuniti Taman Cempaka, di sini semalam memberi pendedahan kepada masyarakat setempat tentang teknologi terkini dalam penjagaan kesihatan.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penglibatan rakan strategik antaranya Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta KPJ Healthcare Berhad telah diadakan secara berperingkat di 20 lokasi terpilih, empat daripadanya di Perak.

Azlan Helmi ketika merasmikan program.
Doktor Pakar Perubatan Keluarga dari Firma MyhealerDoc M. Vairavan, 32, berkata teknologi kesihatan pada era digitalisasi masa kini menggunakan jaringan sistem perhubungan telekomunikasi yang terkini dan berdaya interaktif membolehkan perkhidmatan penjagaan kesihatan mudah diakses dengan hanya di hujung jari.
“Antara perkhidmatan yang kami perkenalkan ialah membuat janji temu dan konsultasi melalui platform aplikasi yang disediakan secara dalam talian.
“Dari situ pegawai perubatan yang terlatih akan datang ke rumah pesakit untuk memberikan rawatan susulan seperti merawat luka selepas pembedahan, luka akibat penyakit kencing manis serta pelbagai perkhidmatan perubatan lain,” katanya yang hadir sebagai pempamer.

Sekitar pengunjung yang hadir memeriahkan program FH4A.
Sementara itu, Pegawai Unit Promosi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Nurhidayah Zainul Abidin, 42, berkata JKN membawakan unit bergerak Wellness on Wheel bagi memberikan pengalaman istimewa kepada para pengunjung untuk merasai sendiri alat saringan komposisi badan dan kecergasan.
“Sambutan yang diterima pada hari ini cukup menggalakkan terutamanya dalam kalangan warga emas,” ujarnya.
Antara pengisian program termasuklah saringan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), permainan interaktif kanak-kanak, pemberian baucar cermin mata, pameran produk dan cabutan bertuah.
Hadir merasmikan program Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak Mohd Azlan Helmi Helmi.
-ZS-