
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri/Salawati Shariff
GEORGE TOWN, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Adalah menjadi satu kerugian kepada sesebuah komuniti jika Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berdekatan mereka tidak digunakan sebaik-baiknya.
Bagi seorang penduduk Datuk Keramat Shamizan Samsudin, 52, adalah amat rugi sekiranya infrastruktur yang baik dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang disediakan oleh kerajaan namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat.

Ahli Komuniti MADANI mengambil kesempatan membuat saringan kesihatan kendiri yang ditawarkan di NADI.
“Rakyat rata-rata tidak tahu kewujudan NADI contohnya saya sendiri baru tahu tentang perkhidmatan NADI hari ini,” katanya.
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus menjadi tumpuan komuniti setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat bagi meningkatkan literasi komputer dan teknologi.
Menurut Shamizan lagi, NADI adalah suatu inisiatif kerajaan yang baik cuma ia perlu diwar-warkan supaya semua orang tahu tentang kewujudan NADI.
Pengurus NADI KOMTAR Tangaswari Pattel, berkata pihak NADI sentiasa mengalu-alukan kehadiran semua penduduk setempat bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan antaranya kemudahan Internet percuma satu jam pertama bagi ahli NADI, perkhidmatan mencetak dokumen dan fotostat.
“Buat masa ini operasi NADI KOMTAR bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

NADI Komtar menerima kunjungan Komuniti MADANI DUN Datuk Keramat.
“Kami turut membuat kelas serta kursus pendek seperti kursus cara menggunakan Microsoft Office, menghasilkan e-sijil dengan menggunakan Canva dan banyak lagi,” katanya semasa memberi taklimat kepada ahli-ahli Komuniti MADANI Taman Sri Wonder yang hadir.
Seramai lebih 30 orang ahli Komuniti MADANI di DUN Datuk Keramat hadir memanfaatkan sesi libat urus yang diadakan, di sini semalam.
Untuk rekod, NADI telah dijenamakan semula pada tahun 2024 daripada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
-ZS-