
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)/FAMA Perak
TAPAH, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Program jelajah mesra sempena Sambutan 40 Tahun Pasar Tani peringkat Daerah Batang Padang di Pasar Tani Tapah, kelmarin telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang mengambil peluang untuk membeli barangan keperluan harian pada harga lebih murah.

Pelanggan beratur seawal 8.00 pagi bagi mendapatkan barangan dengan harga murah.
Rata-rata pengunjung yang ditemui teruja dengan program ini dan berharap ia dapat diteruskan bagi membantu rakyat, khususnya golongan B40 melalui penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
Pengunjung Sakina Zurina, 35, berkata beliau tiba seawal 8.00 pagi untuk mendapatkan ayam dan sayur pada harga RM10 yang terhad kepada 60 pelanggan terawal sahaja.
“Semua barang murah-murah dan saya beli seekor ayam dengan harga hanya RM10 sahaja berbanding harga pasaran yang mencecah RM9.80 sekilogram malah, terdapat juga barangan keperluan asas lain yang dijual dengan harga diskaun menerusi jualan agro ini,” katanya.

Antara pelanggan yang berjaya membeli barangan.
Menurut Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Batang Padang Mohamad Amin Mohamad, Jualan Agro MADANI merupakan program jualan terus tanpa melalui orang tengah telah membolehkan pengguna menikmati harga yang lebih rendah, sementara petani dan peniaga masih mampu meraih keuntungan.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 1985, Pasar Tani telah menjadi platfom utama dalam menghubungkan petani tempatan dengan pengguna untuk menyediakan hasil pertanian segar dan berkualiti, dengan tema Pasar Tani, Pasar Pilihan, FAMA terus komited dalam memperkasa sektor agromakanan negara juga berhasrat dalam meningkatkan kesejahteraan petani dan memastikan kestabilan bekalan makanan.
Turut hadir melancarkan program ialah Pengarah FAMA Negeri Perak Azleena Zainal Abidin yang turut menyampaikan kotak kurma serta kalendar takwim bagi bulan Ramadan yang bakal tiba.
-ZS-