Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Perak Komited Perkasakan JPKK

By 24 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

HUTAN MELINTANG, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak komited memperkasa pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan pemberian pelbagai inisiatif.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata antara inisiatif kerajaan adalah melalui penganjuran Program Siri Jelajah Sejahtera Desaku (JSD) di seluruh daerah dalam negeri Perak bagi tahun 2025.

Mohd Zolkafly (tengah) bermain boling kelapa dalam siri JSD @ Hutan Melintang.

“Ini telah diumumkan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pembentangan Belanjawan Negeri Perak tahun 2025, bahawa inisiatif JSD akan diangkat sebagai antara elemen untuk memperkasakan pentadbiran di kawasan kampung melalui aktiviti yang mensejahterakan komuniti desa.

“Diharapkan melalui inisiatif ini, bukan sahaja akan mengeratkan hubungan silaturahim tetapi berjaya mengajak masyarakat untuk menyumbang melalui aktiviti bersama,” ujarnya ketika berucap dalam majlis perasmian Program JSD @ Hutan Melintang di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang, di sini kelmarin.

Antara peserta yang hadir di Program JSD @ Hutan Melintang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, berkata pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dalam siri jelajah kedua tersebut demi memastikan inisiatif yang hendak disampaikan diterima oleh rakyat terutama golongan sasar.

“Antara pendekatan yang diambil adalah penganjuran pertandingan Desaku Bebas Denggi, pertandingan Bakat Kemahiran, pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti sukan rakyat, aktiviti memasak bubur lambuk, cabutan bertuah, Jualan Rahmah Bergerak dan jualan produk tempatan oleh usahawan Bagan Datuk.

“Ini merupakan titik permulaan kepada perubahan positif yang akan memberi manfaat kepada semua, jadi marilah kita bekerjasama untuk membangunkan desa demi generasi akan datang,” ujarnya yang berucap mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda