
Laporan/foto: Priscilla Chong/Osman Sanudin/Muhd Yusuf Muda (Kunak)
KUNAK, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Komuniti Madani berperanan sebagai pemangkin perpaduan dalam masyarakat setempat, khususnya di Daerah Kunak, dengan mewujudkan sebuah platform yang menggalakkan interaksi dan kerjasama antara pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM N63) Kunak, Hussin Mohd Rais, 64, di Daerah Kunak, kewujudan Komuniti Madani di beberapa kawasan telah membawa manfaat besar dalam membentuk masyarakat yang lebih bersatu padu, berinformasi, dan progresif.

Hussin mengedar bahan penerbitan kepada ahli komuniti yang menghadiri program Program Jiwa Madani@Sembang Santai di Pejabat Penerangan Kunak di sini kemarin.
“Saya berpendapat bahawa penubuhan Komuniti Madani ini berperanan sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh perpaduan di kawasan setempat, yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Bajau, Suluk, Bugis, dan lain-lain.
“Dengan penubuhan tiga Komuniti Madani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.63 Kunak, iaitu Komuniti Madani Lormalong, Komuniti Madani Bagiang, dan Komuniti Madani Mesej Pangi Kunak, pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bagi memperkukuh hubungan masyarakat serta menyebarluaskan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan,” ujarnya semasa berucap merasmikan Program Jiwa Madani@Sembang Santai di Pejabat Penerangan Kunak di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ketua Komuniti Madani Lormalong, Maswan Sulad, 37, berkata penubuhan Komuniti Madani di setiap kawasan DUN merupakan satu langkah yang tepat dalam memperkukuh perpaduan masyarakat setempat serta menyokong konsep Kerajaan Perpaduan Madani.
“Penubuhan Komuniti Madani membuka peluang luas kepada ahli-ahlinya untuk menyertai pelbagai program, kursus, dan latihan yang telah dianjurkan sejak penubuhannya.

Gambar kenangan Program Komuniti Madani@Sembang Santai di Pejabat Penerangan Kunak.
“Antara inisiatif terkini yang dijalankan ialah kursus bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang diadakan secara berkala pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kunak, Roslan Rungan, menyatakan bahawa pelbagai program di bawah inisiatif Jiwa Madani telah dirangka dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini di peringkat Komuniti Madani di Kawasan Undangan Negeri (N63) Kunak.
“Antara program yang telah dijalankan termasuklah Jiwa Komuniti Madani@Sembang Santai dan Info on Wheels (IOW), yang berlangsung pada hari ini dengan penglibatan aktif ahli-ahli Komuniti Madani setempat.
“Melalui program ini, jaringan komunikasi secara bersemuka dapat diperluaskan bagi menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dengan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan kefahaman serta sokongan rakyat terhadap inisiatif kerajaan semasa,” ujarnya.
-RJ-