Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Gotong-Royong Perdana Kukusan 3.0, Tingkatkan Kesedaran Masyarakat

By 24 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip /Mohd Maqdi Bin Salleh (Tawau)

TAWAU, 24 Feb (MalaysiaAktif) –Program Gotong-Royong Perdana Kukusan 3.0 yang diadakan pada Sabtu lalu mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 900 peserta menyertainya, melebihi sasaran awal seramai 500 orang.

Program tahunan ini bertujuan memupuk semangat gotong-royong serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan diri, keluarga, dan persekitaran.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat dalam memperbaiki kebersihan persekitaran tetapi turut mengukuhkan semangat kerjasama dan kepedulian dalam kalangan masyarakat.

Rina semasa ditemu bual pemberita mengenai Program Gotong-Royong Perdana Kukusan 3.0 kemarin.

“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan yang bertujuan memperkukuhkan budaya kebersihan dan semangat kerjasama dalam komuniti. Selain itu, mempersiapkan umat Islam menjelang bulan Ramadan, memandangkan ramai yang akan menziarahi tanah perkuburan untuk mendoakan saudara-mara yang telah meninggal dunia.

“Komuniti Kukusan amat bertuah kerana kawasan ini terpilih untuk program gotong-royong pada kali ini. Kami juga berterima kasih kepada semua Badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dan menerima geran sebagai penghargaan atas komitmen mereka,”katanya ketika merasmikan program tersebut di Tanah Perkuburan Islamiah di sini kemarin.

Beliau turut menyatakan bahawa kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gotong-royong semakin meningkat, terbukti dengan penyertaan yang semakin bertambah setiap tahun.

“Alhamdulilah, peningkatan jumlah peserta dari tahun ke tahun menunjukkan masyarakat semakin peka dan komited dalam menjaga kebersihan persekitaran serta mengukuhkan semangat kerjasama demi kesejahteraan bersama.

“Selain itu, sebagai usaha meningkatkan kemudahan pengunjung, tangki air tambahan telah dipasang di kawasan tanah perkuburan ini bagi memastikan mereka yang menziarahi kubur dapat menikmati kemudahan air dengan lebih selesa dan mudah,” ujarnya.

Suasana program gotong-royong yang disertai badan kerajaan, NGO dan kontinjen ahli komuniti serta sukarelawan.

Tambahnya, tanah Perkuburan Jalan Utara, yang merupakan antara tanah perkuburan tertua dan terbesar di Tawau, kini hampir mencapai kapasiti penuh.

“Pembukaan tanah perkuburan baru di Jalan Baradaya kini sedang dalam perancangan dan diharap dapat dilaksanakan dalam beberapa tahun akan datang bagi menampung keperluan kapasiti yang semakin mendesak di kawasan tanah perkuburan sedia ada,” jelasnya.

Program Gotong-Royong Perdana Kukusan 3.0 kali ini melibatkan 55 badan kerajaan dan NGO, dengan 55 kontinjen yang terdiri daripada ahli komuniti serta sukarelawan yang hadir secara sukarela.

-RJ-

Tinggalkan komen anda