
Laporan/foto: Mohd Mardah Hj Omarsah / Zainudin bin Nurdin (Beluran)
BELURAN, 25 Feb (MalaysiaAktif)– Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Program ini bukan sahaja memberi pencerahan mengenai ancaman semasa, tetapi turut memperkukuh hubungan silaturahim dalam komuniti.
Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Beluran, Mohd Mardah Omarsah berkata program ini dapat membantu masyarakat lebih berwaspada terhadap tawaran yang diterima, khususnya melalui panggilan telefon.
“Ramai yang telah menjadi mangsa penipuan dalam bentuk ini sebelum ini. Justeru, dengan penjelasan yang disampaikan melalui ceramah ini, maklumat tersebut dapat dikongsi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan, sekali gus mencegah mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber dan penipuan dalam talian.
“Sekiranya menerima panggilan yang meragukan, jangan terburu-buru membuat keputusan. Dapatkan maklumat daripada pihak berwajib atau rujuk kepada keluarga dan rakan sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut di Kampung Kolapis Pasir di sini, pada Ahad.

Mardah (duduk tiga dari kanan) ketika menziarahi Abdul Gafar dalam acara ziarah kasih di sini kemarin.
Pada masa yang sama, Mohd Mardah turut menziarahi Timbalan Ketua Komuniti Madani Mukim Kolapis, Abdul Gafar Ashik, yang sedang uzur. Lawatan ini dilakukan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang perkhidmatannya.
Sementara itu, Ketua Komuniti Madani Mukim Kolapis, Aliudin Abdul, 54, menyifatkan program ini sebagai inisiatif yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.
“Program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi juga memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai isu-isu semasa seperti jenayah siber, sindiket penipuan pekerjaan dalam talian, serta pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Majlis tahlil dan doa selamat sempena menyambut Ramadan di kampung Kolapis Pasir Beluran kemarin.
“Diharapkan masyarakat setempat akan lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan oleh individu tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Program ini turut disertakan dengan majlis tahlil sempena Nisfu Syaaban, bacaan doa selamat, ceramah, ziarah kasih, serta pengedaran bahan penerbitan kepada masyarakat setempat.
Untuk makluman, program ini melibatkan tiga Komuniti Madani, iaitu Komuniti Madani Mukim Kolapis Pasir, Komuniti Madani Mukim Pulau, dan Komuniti Madani Pekan Beluran.
-RJ-