Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Santuni 800 Pesawah di Bachok

By 25 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar

BACHOK, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai, anjuran enam daripada sembilan Komuniti MADANI di Daerah Bachok, berjaya menyantuni hampir 800 pesawah padi dan keluarga mereka dalam sesi yang berlangsung dari 21 hingga 23 Februari lalu.

Program ini menjadi platform interaksi bagi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang dan DUN Jelawat, di mana 90 peratus daripadanya terdiri daripada pesawah dan petani.

Ketua Komuniti MADANI Alor Bakat, Ismail Abd. Majid berjaya mengumpulkan pelbagai generasi pesawah untuk saling berkongsi pandangan dan cadangan

Mereka diberi penerangan mengenai Penyelarasan Harga Lantai Padi dan Beras Putih Tempatan selain berpeluang berkongsi pandangan serta cadangan bersama Komuniti MADANI dan Pejabat Penerangan Daerah Bachok.

Menurut Ketua Kumpulan Pengguna Air Keluat dan Kuau (PADI) Mohd Suhaizul Azuan Awang, 38, pelaksanaan penyelarasan harga ini amat dihargai oleh pesawah kerana memberi impak positif kepada pendapatan mereka.

“Kami sangat bersyukur kepada kerajaan atas penyelarasan harga ini.

“Sebelum ini, harga padi pada tahun 2013 hanya sekitar RM900, namun kini meningkat kepada RM1,500 dengan subsidi yang banyak,” katanya.

Mohd Suhaizul turut berharap agar pihak berkaitan dapat memantau harga benih padi, racun perosak dan keperluan pertanian lain bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak terkawal, sekali gus memastikan kesejahteraan pesawah terus terpelihara.

“Ia sangat membantu kelangsungan hidup para pesawah,” katanya.

Ketua Komuniti MADANI Tawang Bestari, Zahari Sidik berjaya mengumpulkan hampir 400 orang pesawah dari kawasan Tawang pada sesi tersebut.

Sementara itu, rata-rata peserta program yang hadir di enam lokasi berbeza sepanjang tiga hari berturut-turut program berlangsung menyambut baik konsep sembang santai ini.

Mereka berharap program seumpama ini dapat dianjurkan dengan lebih kerap bagi memberi ruang kepada pesawah dan petani untuk berinteraksi mengenai inisiatif terkini kerajaan serta isu-isu semasa dalam sektor pertanian.

-ZS-

Tinggalkan komen anda