
Laporan/foto: Sheikh Mohamed Nazim/Muhammad Nazriq Hakimi (Segamat)
SEGAMAT, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 70 penunggang motorsikal menjayakan Program Fun Ride Semarak Ramadan Peringkat Masjid Kerajaan Daerah Segamat 2025.

Seramai 70 penunggang motorsikal menjayakan Program ‘Fun Ride’ Semarak Ramadan Peringkat Masjid Kerajaan Daerah Segamat 2025.
Program anjuran Pejabat Kadi Segamat menerusi Unit Pembangunan Masjid dan Surau ini meliputi jarak perjalanan sejauh 85 kilometer bermula di Masjid Segamat Baru awal pagi kelmarin.
Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi, berkata objektif program ini adalah bagi melahirkan rasa syukur menjelang ketibaan bulan Ramadan yang dianggap sebagai bulan mulia untuk masyarakat Islam.
“Salah satu matlamatnya adalah bagi menjana dan menyelaras program aktiviti Semarak Ramadan bersama masyarakat setempat dengan harapan agar masyarakat dapat menghayati ketibaan bulan Ramadan, bulan yang penuh barakah.
“Tahniah diucapkan kepada Pejabat Kadi Daerah Segamat yang telah berjaya melaksanakan program pada hari ini sempena meraikan bulan yang penuh berkat iaitu bulan Ramadan yang akan tiba tidak berapa lama lagi,” katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti Pejabat Daerah Segamat.

Sesi tazkirah turut diadakan di setiap perhentian Masjid yang disampaikan oleh pegawai-pegawai Pejabat Kadi Daerah Segamat.
Mohd Ezzuddin turut berterima kasih kepada Majlis Agama Islam (MAIJ) Segamat, Pejabat Penerangan Segamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Segamat, Persatuan Permotoran Segamat dan ahli-ahli jawatankuasa masjid yang terlibat menjayakan program.
Turut hadir Kadi Daerah Segamat Mohd Hamizan Sayuti, Imam Daerah Segamat Afifi Mohamed Derafar dan Pegawai Penerangan Daerah Segamat Nor Sofian Abdul Manan.
-ZS-