Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Program Tafaqquh Fiddin Kampung Hulu Lemanak

By 26 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Kampung Hulu Lemanak dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu telah melaksanakan Program Tafaqquh Fiddin (Kaedah Sembelihan Mengikut Syariat Islam) Tahun 2025M/1446H yang berlangsung selama sehari di perkarangan surau.

Program tersebut telah berjaya menghimpunkan lebih 30 penyertaan daripada ahli-ahli Komuniti MADANI Kampung Hulu Lemanak dan kariah surau.

Ustaz Mohd Rafizi Wahab dari Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Sri Aman ketika mengendalikan program di sini semalam.

Menurut Ustaz Mohd Rafizi Wahab, 35, dari Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Sri Aman yang juga pengendali bengkel, menjelaskan objektif utama program ini ialah memantapkan pengetahuan peserta mengenai kaedah penyembelihan mengikut prinsip halalan toyyiban.

Menurutnya, latihan ini bukan sahaja bersifat teori malah praktikal, di mana peserta berpeluang memahami undang-undang dan peraturan berkaitan penyembelihan halal yang ditetapkan.

“Selain sesi teori peserta juga diberikan pendedahan secara praktikal bagi mengasah kemahiran mereka dalam penyembelihan mengikut syariat Islam,” katanya semalam.

Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan objek yang tajam dalam proses penyembelihan bagi memastikan haiwan yang disembelih adalah halal dan layak untuk dimakan.

Abdul Manan (kanan) turut menghadiri latihan praktikal tatacara penyembelihan mengikut syarak di sini semalam.

Bagi salah seorang peserta Abdul Manan Abdul Latip, 48, bengkel tersebut telah memberikan pengetahuan dan kemahiran asas dalam penyembelihan haiwan mengikut hukum syarak.

Menurutnya, program tersebut penting sebagai pendedahan kepada masyarakat mengenai proses penyembelihan halal agar tiada sebarang keraguan atau kekeliruan berkaitan isu-isu kesihatan awam, veterinar dan teknologi semasa.

“Program sebegini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat kerana jarang sekali kita melihat agensi lain menganjurkan aktiviti berkaitan tatacara penyembelihan ini selain merupakan inisiatif penting dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemakanan halal dan amalan penyembelihan yang betul,” jelasnya yang juga Setiausaha Komuniti MADANI Kampung Hulu Lemanak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda