Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Hari Pemberdayaan OKU Peringkat Daerah Hulu Selangor

By 26 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahmie Rozman (Hulu Selangor)

HULU SELANGOR, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Selangor (JKM) dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Hulu Selangor (PPDK) telah menganjurkan Sambutan Hari Pemberdayaan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Daerah Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

Ketua Penolong Pegawai Daerah, Saiful Bahari Ruslan ketika merasmikan Sambutan Hari Pemberdayaan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Daerah Hulu Selangor.

Pegawai Penyelaras PPDK Daerah Hulu Selangor Mohd Zulkifli Mustafa, berkata program ini bertujuan untuk memberi keseronokan dan keceriaan kepada warga PPDK di Daerah Hulu Selangor di samping memberi pendedahan kepada mereka dengan kehidupan yang sebenar.

“Pada masa yang sama aktiviti seperti ini juga memberi kesedaran kepada masyarakat awam tentang kepentingan menyantuni komuniti kecil ini yang sangat memerlukan bantuan, perhatian, dorongan dan sokongan daripada masyarakat sekeliling,” katanya.

Seramai 200 orang peserta daripada sembilan PPDK di Hulu Selangor telah menyertai program ini iaitu PPDK Kuala Kubu Bharu, PPDK Soeharto, PPDK Gedangsa, PPDK Kalumpang, PPDK Titian Murni, PPDK Batang Kali, PPDK Puncak Jalinan Kasih, PPDK Sungai Choh dan PPDK Bukit Beruntung.

Permainan baling damak oleh peserta OKU dari semua PPDK Daerah Hulu Selangor.

Pelbagai aktiviti diadakan, antaranya reruai jualan dan pameran, pertandingan permainan dam ular, boling, lego, baling damak, memancing, susun suai gambar, teka silang kata, mencipta video pendek dan reruai tercantik.

Sambutan Hari Pemberdayaan OKU Peringkat Daerah Hulu Selangor ini bertemakan ‘OKU Kini Mampu Berdaya Saing Dalam Masyarakat’ merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab untuk bersama-sama memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kemampuan dan sumbangan OKU.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JKMN Selangor Ismail Kasan.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Saiful Bahari Ruslan, Ahli Majlis MPHS/Pengerusi PPDK Kuala Kubu Bharu Saripah Bakar serta beberapa ketua-ketua jabatan daerah Hulu Selangor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda