
Laporan/Foto : Iswandi Kassim (Sarawak)
PANTU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Zon Pantu 2025 dan ‘Think & Tinker’ (T&T) Mini Lab yang dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Zon Pantu membuka lembaran baharu dalam pendidikan STEM di kawasan luar bandar.

Snowdan merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Zon Pantu 2025 dan Think & Tinker (T&T) Mini Lab.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Bendahari TEGAS, Datuk Snowdan Lawan, yang menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi menjelang 2030.
“Karnival ini bukan sekadar pendedahan awal terhadap STEM, tetapi juga platform interaktif yang menggalakkan pemikiran kreatif dan inovasi dan anak-anak Sarawak perlu bersedia menghadapi era teknologi agar mampu bersaing di peringkat global,” katanya dalam majlis hari ini.
T&T Mini Lab yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu bakal memberi manfaat kepada 10 sekolah lain di Zon Pantu, membolehkan pelajar luar bandar menikmati kemudahan pembelajaran berteknologi tinggi seperti pencetakan 3D, dron, pengekodan, dan robotik, setanding dengan rakan sebaya mereka di bandar.

Snowdan turut menyaksikan pameran interaktif semasa program berlangsung hari ini.
Selain itu, ‘TEGAS Community Innovative Learning’ (TCIL) membawakan pelbagai aktiviti STEM interaktif seperti ‘Nex Playground’, ‘VR Experience’, ‘Flight Simulator’, dan ‘IQ Puzzle’ bagi meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi.
Beberapa agensi seperti Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak, Planetarium Sultan Iskandar (PSI), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), dan Sarawak Biodiversity Centre (SBC) turut serta dalam pameran interaktif untuk memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para pelajar.
Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin memberitahu, penganjuran Karnival STEM Zon Pantu 2025 dan T&T Mini Lab mencerminkan usaha berterusan kerajaan, sektor swasta, dan komuniti dalam memperkukuh pendidikan STEM di Sarawak.
Dengan sokongan berterusan, inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada generasi inovatif dan berdaya saing, sekaligus merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
-RJ-