
Laporan/foto: Noor Azza Abdul Aziz
PUTRAJAYA, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Kemajuan teknologi, kepesatan penggunaan media sosial dan perubahan ekonomi selepas pandemik Covid-19 menjadi satu cabaran terhadap institusi kekeluargaan kini, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia).

Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika berucap di majlis perasmian Karnival Wanita MADANI 2025
Cabaran tersebut membawa kepada perubahan nilai sosial yang mengubah dinamika keluarga dan kesannya kepada wanita berkerjaya masa kini.
“Ingatlah peranan dan tanggungjawab sebagai seorang ibu perlu sentiasa diutamakan walau sesibuk manapun kita bekerja,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Wanita MADANI 2025 di sini, hari ini.

Antara tetamu yang hadir
“Wanita seharusnya mampu menjadi suri teladan, sumber inspirasi dan juga pembimbing.
“Sebagai pendukung utama suami dalam setiap keadaan samada susah atau senang, seorang wanita juga hendaklah mampu menjadi contoh teladan yang baik buat anak-anak,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun peranan wanita mampu mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga, namun seorang lelaki atau suami memainkan peranan sebagai pelindung dan membantu dalam tugasan rumahtangga lebih-lebih lagi jika isteri berkerja.
Wan Azizah berkata kunci untuk mempunyai kerjaya yang stabil serta keluarga harmoni dan kukuh merupakan tanggungjawab bersama.
-AA-